tas tas tas tas
loading...

Sunday 7 September 2014

MUHAMMAD SAFWAN ANANG DIPENJARA 10 BULAN BERI UCAPAN BERBAUR HASUTAN


KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Bekas pengerusi Solidariti Mahasiswa (SMM)
Muhammad Safwan Anang@Talib dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen di
sini kerana memberi ucapan berbaur hasutan dalam ceramahnya tahun lepas.

Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu setelah mendapati Muhammad
Safwan, 25, bersalah terhadap pertuduhan itu mengikut Akta Hasutan 1948 dan
memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Bagaimanapun, Norsharidah membenarkan permohonan tertuduh yang diwakili
peguam Ariff Azami Hussein bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu
sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Hakim menaikkan wang jaminan daripada RM5,000 kepada RM15,000 dengan seorang
penjamin. Dia membayar wang ikat jamin itu.

Dalam keputusannya, Norsharidah berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan
keraguan munasabah di akhir kes itu dan mahkamah berpuas hati pembelaan yang
dikemukakan Muhammad Safwan hanya bersifat penafian semata-mata.
"Alasan bahawa tertuduh hanya mengkritik dan melahirkan rasa
ketidakpuasan hati terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 dan Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) juga tidak diterima mahkamah," katanya.

-- LAGI
MAHKAMAH-HASUTAN 2 KUALA LUMPUR
Selain itu mahkamah berpendapat segala penyataan yang dikemukakan
tertuduh boleh menimbulkan kecenderungan menghasut walaupun tertuduh dalam
pembelaannya berkata dia tidak mempunyai niat berbuat demikian.
Terdahulu dalam rayuan yang dikemukakan Ariff Azami, beliau memohon supaya
anak guamnya itu hanya dikenakan denda minimum RM5,000 memandangkan dia bekerja
sebagai guru mengajar al-Quran selepas menamatkan pengajiannya dalam jurusan
pengajian Islam di Universiti Malaya (UM).

Katanya, Muhammad Safwan juga perlu menanggung isterinya yang tidak bekerja
dan seorang anak perempuan berumur lapan bulan, selain ini merupakan kesalahan
pertama.
Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi membantah rayuan tertuduh supaya
dikenakan denda atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan boleh
memberi kesan besar terhadap masyarakat.
"Tertuduh menggunakan pengaruhnya untuk menarik perhatian dan hukuman berat
perlu diberikan supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,"
katanya.

-- LAGI
MAHKAMAH-HASUTAN 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Pada 29 Mei tahun lepas, Muhammad Safwan mengaku tidak bersalah terhadap
pertuduhan memberi ucapan menghasut bagi membangkitkan kemarahan rakyat negara
ini supaya mengubah kerajaan yang tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara
tidak sah.

Selain Muhammad Safwan, turut didakwa bersama ialah Naib Presiden PKR Chua
Tian Chiang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua, 51; aktivis mahasiswa
propembangkang, Adam Adli Abd Halim, 25; aktivis Hishamuddin Md Rais, 63;
anggota PAS Mohd Tamrin Abdul Ghafar, 64; dan peguam Haris Fathillah Mohamed
Ibrahim, 55.

Bagaimanapun kes Tian Chua dan empat lagi masing-masing dibicarakan
berasingan dan masih di peringkat perbicaraan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala
Lumpur dan Selangor, Jalan Maharaja Lela, Dang Wangi di sini antara 8.55 malam
dan 11.15 malam, 13 Mei tahun lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh
dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga
RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit
kesalahan.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...