tas tas tas tas
loading...

Saturday 20 September 2014

Adam Adli dipenjarakan setahun kerana menghasut

Adam Adli Abdul Halim

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mensabitkan bekas aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim bersalah atas tuduhan menghasut dan menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara.

Adam Adli didakwa kerana mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan pada satu forum 13 Mei tahun lalu apabila dia dikatakan mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Bersalah," tulisnya melalui akaun Twitternya dari mahkamah pagi ini.

“Mempunyai pandangan berbeza nampaknya merupakan satu jenayah sekarang, menurut pihak pendakwa kita," katanya menerusi akaun Twitter itu.

Pada forum 13 Mei tahun lepas, Adam Adli dilaporkan mencadangkan untuk mengadakan demonstrasi jalanan, dengan berkata:“Pilihan raya tidak akan menyingkirkan kerajaan, kuasa rakyat yang akan lakukannya.”

Peguam N Surendran dan Latheefa Koya yang mewakili Adam Adli, 25, memohon kepada Hakim Mat Gani Abdullah supaya hukuman lebih ringan dijatuhkan.

Dalam satu reaksi awal, Human Rights Watch berkata "Dengan menghumban seseorang ke dalam penjara kerana membuat ucapan politik, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaannya menunjukkan kecenderungan autoritarian yang selalunya dikaitkan dengan pemerintahan satu parti, dan bukannya demokrasi.

"Pensabitan ini menunjukkan bahaya yang luar biasa ditimbulkan Akta Hasutan, sangat kabur hingga boleh digunakan kerajaan untuk menganggap sebarang bentuk ucapan yang dianggap menyakitkan hati sebagai satu jenayah.

"Sudah tiba masanya Najib berhenti memungkiri janji yang sering diulangnya untuk memansuhkan akta itu dan mula bekerja ke arah menghapuskan undang-undang yang penuh kebencian ini,” kata Timbalan Pengarah Bahagian Asia HRW Phil Robertson.

Adam merupakan aktivis pelajar kedua didapati bersalah dan dihukum penjara kerana menghasut.
Pada 5 September, bekas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Muhammad Safwan Anang dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur .

Safwan disabitkan kerana mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan semasa forum 13 Mei yang sama.
Ghani menjatuhkan hukuman ke atas Adam Adli mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, tetapi membenarkan penangguhan sementara menanti rayuan dan ikat jamin RM5,000.

Ketika mitigasi, Surendran dan Latheefa membangkitkan kenyataan Jabatan Peguam Negara yang sedang dalam proses mengkaji semula beberapa dakwaan yang dibuat mengikut akta itu.

Mereka juga memetik janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan undang-undang zaman penjajah itu.

Latheefa berkata, ini adalah kesalahan pertama Adam Adli dan tidak ada yang tercedera akibat apa yang dikatakannya, menurut portal berita Malaysiakini.

Kedua-dua Latheefa dan Surendran meminta agar Adam Adli hanya didenda.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas meminta hukuman yang lebih berat dikenakan untuk menenangkan sentimen orang ramai.

Latheefa memberitahu The Malaysian Insider kemudiannya hakim masih belum menyediakan alasannya dalam menjatuhkan hukuman.

"Beliau belum lagi membacakan sebab sabitan. Beliau akan memaklumkan kami apabila ia siap. Hari ini, hakim hanya membacakan kenyataan yang Adam Adli bersalah dan menjatuhkan hukuman,” katanya.
Latheefa berkata hakim dijangka mengeluarkan alasan pensabitannya itu apabila peguam Adam Adli memfailkan notis rayuan.

"Kami akan membuat rayuan secepat mungkin. Kami mempunyai sebulan dari tarikh keputusan dibuat untuk memfailkan notis rayuan," katanya.

Keputusan hari ini membangkitkan kemarahan di kalangan pengguna media sosial, dengan ahli politik, peguam dan aktivis mengutuk hukuman itu sebagai "berlebihan". – 19 September, 2014.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...